Sunday, April 18, 2010

Zaid dapat penuhi kehendak rakyat Hulu Selangor





KOTA BHARU, 18 April: Calon Pakatan Rakyat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, Datuk Zaid Ibrahim dijangka dapat memenuhi kehendak hati rakyat memandangkan beliau adalah seorang pemimpin yang berprinsip.

Ahli Majlis Syura Ulama PAS, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh (gambar), memberitahu Pakatan telah membuat pemilihan yang terbaik untuk dicalonkan memandangkan beliau adalah seorang pemimpin yang menjaga kebajikan rakyat.

Ketika ditemui di sini, beliau berkata jika bukan kerana prinsip, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu tidak akan melepaskan jawatan tersebut demi rakyat.

“Namun demi rakyat dan kerana menyedari perjuangan Umno telah menyimpang jauh serta menghianati masyarakat Melayu sendiri, Zaid sanggup keluar parti itu dan menyertai PKR.

“Pada saya Pakatan Rakyat telah membuat pilihan yang terbaik demi untuk rakyat dan saya yakin Zaid mampu mempertahankan kerusi tersebut,” ujarnya lagi.

Pada masa yang sama beliau turut mengingatkan pihak lawan supaya tidak mencipta sesuatu isu demi untuk memburukkan imej calon Pakatan.

Sambungnya, jangan kerana tiada isu untuk menentang Pakatan Rakyat, terpaksa pula mencipta isu baru seperti melompat, orang luar dan sebagainya.

Katanya lagi, masyarakat Hulu Selangor juga tidak menjadi masalah untuk menerima calon luar asalkan pemimpin yang benar-benar mampu menjaga kebajikan mereka.

“Apa lagi kebanyakan wakil-wakil rakyat di negeri itu kebanyakan bukan orang tempatan, malah pengundinya juga orang luar yang menetap di situ,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat seterusnya menyeru semua penyokong Pakatan Rakyat di seluruh negara turun untuk membantu calon Zaid yang mewakili calon.

0 comments: